Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohtar Hani berkata, penganjuran program kali kelapan itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah terhadap pentingnya amalan kitar semula dan menjaga kebersihan alam sekitar.
"Penyertaan pelbagai kelompok pelajar dari 36 buah sekolah termasuk tadika, sekolah rendah hingga ke sekolah menengah sangat membanggakan.
"Kesedaran mengitar semula sampah perlu ada, demi memulihara alam sekitar dan sumber alam semulajadi serta mengurangkan kesan negatif akibat aktiviti pembuangan sisa atau sampah," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut di sini, baru-baru ini.
Pertandingan itu diadakan dengan kerjasama syarikat pengeluar minuman, F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. (F&N).
Yang hadir sama ialah Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N, Cariessa Goh dan Pengurus Alam Sekitar Tetra Pak Malaysia, M. Manjula.
Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong di sini, berjaya meraih pencapaian terbaik dengan memenangi tiga anugerah iaitu juara kategori sekolah menengah, anugerah khas kutipan bahan kitar semula aluminium dan plastik paling tinggi serta anugerah khas kutipan bahan kitar semula kotak Tetra Pak paling tinggi.